Tumpuan :
Nasional

Tiada hasrat pinda, wujud akta baharu, tetapkan had umur pengguna media sosial – Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berhasrat melakukan sebarang pindaan atau mewujudkan akta baharu bagi mengehadkan umur pengguna media sosial, seperti yang dilaksanakan Australia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, pihaknya akan memberi penegasan kepada setiap penyedia platform media sosial untuk menjelaskan proses verifikasi dibuat bagi memastikan setiap pengguna mematuhi had umur yang telah ditetapkan dalam garis panduan komuniti sedia ada.

”Setelah pelaksanaan melesenkan platform media sosial yang bermula 1 Januari 2025, penegasan yang kita akan lakukan untuk platform-platform melakukan verifikasi pengesahan umur bagi pengguna-pengguna, kita akan mula dengan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Peduli Ummah, di ibu negara hari ini.

Ujar Fahmi, sekiranya perkara itu tidak dituruti, maka pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan bersama penyedia platform media sosial berhubung isu tersebut.

“Kita akan lihat sama ada mereka boleh melaksanakan ataupun tidak. Jika tidak, kita akan lakukan perbincangan selepas itu.

“Sebab platform mereka dalam peraturan mereka sendiri telah mengatakan bawah 16 tahun tak boleh guna,” katanya.

Senat Australia sebelum ini telah meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian.

Setelah undang-undang itu berkuat kuasa pada penghujung tahun depan, individu berusia 16 tahun ke bawah akan dihalang daripada menggunakan platform seperti TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook, Reddit dan X.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese mempertahankan langkah itu dengan menyatakan ia adalah perlu untuk melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini