Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiada pengenaan fi atau caj terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 [Akta 814] pada tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana kajian lanjut penetapan fi berkenaan masih sedang dilaksanakan, selain mengambil kira kebajikan peguam syarie.
“Saya berhasrat untuk tidak menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi 2024. Bagi maksud ini, pindaan akan dibuat kepada Kaedah-Kaedah Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Fi) 2023. Pindaan tersebut akan disiarkan dalam Warta dan dikuatkuasakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akta 814 mula berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 yang menetapkan terdapat fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 akta tersebut yang perlu dibayar kepada Ketua Pendaftar.
Peruntukan terbabit memberikan kuasa kepada menteri untuk menetapkan fi yang berkenaan melalui kaedah-kaedah.
Bagi 2023, fi turut tidak dikenakan dan perkara berkenaan telah diperuntukkan melalui Kaedah-Kaedah Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Fi) 2023 [P.U. (A) 30/2023] yang disiarkan dalam Warta pada 26 Januari 2023.