KUALA LUMPUR: Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, mahu melupakan segala persengketaan selama empat tahun demi menjaga perasaan anak-anak.
Artikel berkaitan: Syamsul ceraikan Puteri Sarah talak satu
Syamsul berkata, tiada lagi dendam dan sudah bermaafan kerana ingin terus ‘move on’.
“Walaupun sudah berpisah, tetapi kami tidak berdendam demi anak-anak.
“Kami sudah berbaik dan bermaafan sebelum lafaz cerai, bermakna tiada lagi dendam.
“Saya reda dan anggap ini adalah satu fasa ujian hidup. Akan datang tidak tahu apa lagi ujian terutama selebriti seperti kami.
“Apa yang saya cakapkan bukanlah ditujukan pada selebriti lain, tetapi kepada orang lain yang ambil kisah kami sebagai pengajaran,” katanya.
Syamsul dan Puteri Sarah bercerai talak satu, jam 12.23 tengahari di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Syamsul bersyukur prosiding perceraian berjalan lancar.
“Apabila difikirkan semula persefahaman sepatutnya sudah lama berlaku. Ini kerana lebih memudahkan urusan selama ini.
“Alhamdulillah, semua selesai demi kebahagiaan dan masa depan anak-anak.
“Itulah hikmah kerana komunikasi menjadi mudah bila sudah berbaik.
“Kalau masih tidak okay, kami kena tunggu peguam untuk berbincang atau orang tengah, jadi proses akan lebih sukar,” katanya.
Syamsul berkata, mereka kini bersahabat baik dan akan tetap menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik serta meluangkan masa bersama anak-anak.
“Saya tak nak anak-anak rasa kesan besar daripada perpisahan ini. Disebabkan itu juga kami memilih untuk berbaik.
“Kita manusia ada ego masing-masing, jadi kami akan sentiasa saling mengingati demi anak-anak,” katanya.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.