comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada calon SPM terkandas atau pusat peperiksaan tutup akibat banjir – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) beramah mesra dengan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa ketika lawatan kerja susulan gangguan bekalan air di Sekolah Mengengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di sini. – Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Tiada calon terkandas atau terhalang daripada menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) serta Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM) 2023 yang bermula Isnin lalu terutama membabitkan negeri terjejas banjir seperti di Pahang dan Johor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata sebilangan murid di negeri tejejas banjir telah ditempatkan di asrama dengan perjalanan pergerakan mereka diuruskan agensi-agensi berkaitan.

“Walaupun ada banjir tetapi calon-calon SPM kita tidak terjejas. Mereka masih boleh meneruskan peperiksaan dengan dibantu oleh semua agensi.

“Jadi, kalau ada yang terputus jalan (perhubungan) tidak boleh sampai ke pusat peperiksaan ada agensi-agensi kerajaan telah membantu calon-calon ini untuk sampai ke pusat peperiksaan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nibong di sini, hari ini.

Fadhlina memeriksa bekalan air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di sini, susulan gangguan bekalan di daerah itu, minggu ini. – Foto: NSTP

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perjalanan calon SPM berikutan banjir semakin buruk di Johor dan Pahang ketika ini.

Terdahulu Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang dan turut meninjau SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh, dekat sini.

Beliau turut memaklumkan pada ketika ini tiada sekolah serta pusat peperiksaan dilaporkan terpaksa ditutup berikutan bencana banjir dan beliau bersyukur peperiksaan yang diatur berjalan lancar.

Seramai 395,870 calon menduduki SPM 2023 yang bermula sejak 8 Jan sehingga 7 Mac ini melibatkan tiga jenis ujian iaitu ujian bertutur, mendengar dan peperiksaan bertulis.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu berakhir hari ini manakala bagi Bahasa Inggeris bermula pada 17 hingga 23 Jan ini manakala ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula diadakan pada 29 Januari dan peperiksaan bertulis akan bermula pada 30 Januari sehingga 7 Mac.

SPM 2023 melibatkan 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan 129,636 orang petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta pengendalian peperiksaan.

Loading...
Terkini