Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Tiada pembelian secara borong beras putih tempatan oleh pengguna untuk simpanan peribadi, sebaliknya bekalan beras tersebut didapati tidak mencukupi di pasaran sejak berbulan lamanya.
Keluhan itu disuarakan sekumpulan pemborong di Chow Kit ibu negara.
Tinjauan Buletin TV3 mendapati rata-rata penjualan beras di kedai dilihat tidak mencukupi dan wujud kenaikan harga pada beras import.
Dakwa mereka, bekalan beras putih tempatan dari pembekal sudah lama tidak sampai kepada pemborong dan peruncit walaupun beras itu mendapat permintaan yang tinggi.
“Buat masa sekarang, tak ramai. Mereka mencari barang tempatan. kebanyakan cari tempatan dulu la. stok beras tempatan ada? memang tak ada, dah banyak hari dah tiada. dalam 3-4 bulan kot.” kata Zahrina Sahlan.
“Setakat ini beras import memang kita dapat stock, beras tempatan memang dah lebih sebulan tak dapat. kami pun tak dapat jual la kan, beras import je yang kita ada sekarang. harga ada naik tak ? ada naik. naik sekilo 85 sen beras import. jadi sepuluh kilo ni RM8.50 sen kalau dibanding dengan harga lama.” kata Ghaffar Muhammad Hanifah.
Bagaimanapun tiada pembelian secara pukal oleh pengguna walaupun beras jenis tempatan itu tiada.
“Beras paling murah RM36. Paling tinggi RM41 saya ada. Itu saja saya ada. tiada orang beras beli banyak-banyak. biasa la orang beli satu dua satu dua. harini kurang-kurang 5-6 paket saja jual,” kata peruncit, Tiaga Raj.
Sementara itu seorang pengguna yang ditemui, Shazwan Suhami pula memberitahu beberapa pasar raya juga tidak mempunyai stok beras tempatan jika ada sekalipun hanya beras import dengan harga yang mahal.
“Harap kerajaan dapat tangani la, sebab sebelum ni pun kita ada masalah gula, telur pun sama, jadi benda ni berulang ja, makanan asas ni kena buat sesuatu la.” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor ketika dihubungi memaklumkan, tiada laporan diterima pihaknya berhubung pengguna di negeri itu yang memborong beras putih tempatan dalam kuantiti yang banyak untuk simpanan.