Tumpuan :
Nasional

Tiada alasan lagi lengahkan projek pembangunan rakyat Sabah – PM

Oleh : Safwan Sawi

TENOM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan projek pembangunan rakyat di Sabah disegerakan dan dipantau semua pihak yang berkaitan.

Ia terutama projek melibatkan kemudahan elektrik, air dan jalan raya berlubang yang sehingga kini menghantui penduduk negeri itu.

Tegasnya lagi, jika perkara itu tergendala kesannya bukan sahaja akan menyebabkan kos projek meningkat, malah memperlekehkan harapan rakyat yang mendambakan kemudahan asas.

“Kita bukan sahaja mahu projek ini dipercepatkan untuk menjamin kesejahteraan dan keperluan rakyat. Ini menunjukkan bukan sahaja projek diluluskan tetapi dipercepatkan dan seluruh jentera pemantauan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kita kerahkan jangan ada alasan.

“Kadang pecah tanah selalu tertangguh, dua kesan iaitu kos meningkat satu lagi harapan rakyat memperlekehkan kemudahan elektrik air yang bertangguh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Kampung Kungkular, Ulu Tomani, Kemabong, hari ini.

Ujar Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan lakukan apa sahaja yang munasabah untuk mempercepatkan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas.

Projek itu katanya mampu meningkatkan prestasi negara dan Sabah khususnya dalam menarik lebih banyak pelabur asing terutama sektor pelancongan yang menjadi sektor utama negeri di bawah bayu itu.

“Saya tegaskan semula sikap pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sealiran dengan pandangan pembangunan setepatnya untuk Sabah.

“Saya tekankan peringkat awal dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Annuar Ayu kita perlu beri perhatian jangan lagi projek ini terlewat dari jadual dan tergendala,” katanya.

Projek empangan hidro bernilai RM4 bilion akan dibangunkan di Kampung Kungkular, Kemabong, Tenom.

Projek akan dilaksanakan secara usaha sama antara kerajaan negeri menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah dan sektor swasta itu dijangka siap pada 2029.

Projek Hidroelektrik Ulu Padas bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) sekali gus akan menyumbang secara signifikan kepada grid bekalan tenaga Sabah dengan penambahan sebanyak 15 peratus.

Empangan berkenaan berpotensi untuk membekalkan aliran air bersih dan stabil kepada pengguna sehingga 6,000 juta liter sehari.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Tenom kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Beliau tiba di Sabah malam tadi untuk lawatan kerja sehari.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini