Tumpuan :
Nasional

Thaksin dilantik anggota kumpulan penasihat tidak formal Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di Putrajaya hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Anwar berkata, Malaysia memerlukan pengalaman dan kebijaksanaan pemimpin tersebut untuk berkongsi kepakaran serta idea berhubung isu serantau.

“Saya lantik (Thaksin) sebagai penasihat tidak formal saya (untuk membantu Malaysia sebagai) Pengerusi ASEAN bersama pasukan dari negara-negara ASEAN dalam kerangka tidak rasmi.

“Terima kasih (Thaksin) kerana bersetuju dengan inisiatif ini kerana kita memerlukan pengalaman dan kebijaksanaan pemimpin seperti beliau,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dan Paetongtarn mengadakan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand itu ke Malaysia selama dua hari sejak semalam.

Selain itu, Anwar menzahirkan ucapan terima kasih kepada Thailand kerana berkongsi pendirian yang sama dengan Malaysia dalam menyokong kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

Jelas Anwar, kedua-dua negara sedang berusaha keras untuk memastikan beberapa syarat yang dikenakan dapat dipenuhi sebelum mesyuarat awal ASEAN dijangka pada penghujung Mei.

Mengulas krisis di Myanmar, Malaysia dan Thailand komited untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) dan mengambil langkah melalui dialog tidak rasmi di pelbagai peringkat untuk memastikan negara terbabit dapat berfungsi penuh di dalam ASEAN.

Sementara itu, Paetongtarn berkata, Thailand menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini