Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Thaipusam merupakan hari pengabdian diri masyarakat Hindu bagi menunaikan nazar yang dibuat kepada Dewa Murugan.
Kavadi merupakan antara elemen penting dalam sambutan ini, dimana ia diangkat sebagai tanda membayar nazar yang dibuat mengikut niat seseorang individu.
Bagi Nanthagoballa Morganan, 33 meskipun sudah biasa mengangkat kavadi sejak usia kecil, namun apabila menginjak usia dewasa pengertian mengangkat kavadi menjadi lebih menyeluruh.
Menariknya, kavadi milik Nanthagoballa memerlukan persiapan yang rapi memandangkan ia diperoleh dari Singapura, dan senibinanya diperbuat secara tempahan khas di India.
Kavadi berbentuk kepala gajah ini diperhias dengan bulu merak, yang dibezakan rekabentuk susunannya saban tahun bagi memberikan kelainan.
“Tahun lalu, saya cuba menampilkan bentuk yang lebih kecil. Kali ini setiap bahagian hiasan menampilkan 150 helaian bulu merak supaya ia tampil lebih besar dan menarik.”
“Kavadi ini boleh mencapai berat sehingga 25 kilogram apabila ia sarat dengan hiasan lain seperti bunga-bungaan dan susu yang dibawa untuk memandikan berhala di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani.”
Perjalanan mengangkat kavadi ini katanya, adalah sejauh hampir tujuh kilometer, dan lazimnya ditemani ahli keluarga.
“Saya telah meniatkan usaha saya mengangkat kavadi ini sebagai tanda terima kasih kepada Dewa Murugan atas segala kebaikan yang saya nikmati sepanjang tahun. Saya mendapat sokongan dari ibubapa dan keluarga sepanjang proses persediaan menjelang sambutan Thaipusam.”
“Saya juga menjalani rutin berpuasa dengan memakan sayuran selama satu bulan. Amalan ini turut dikongsi ahli keluarga sebagi tanda sokongan. Begitu juga penyertaan mereka dalam setiap upacara sembahyang atau ‘pooja’,” katanya.
Untuk rekod, sambutan Thaipusam di Malaysia diraikan meriah di beberapa lokasi dengan tumpuan utama antaranya di Batu Caves-Selangor, georgetown-Pulau Pinang, Ipoh-Perak, Sungai Petani-Kedah, Kuching-Sarawak dan Johor Bahru-Johor.