Tumpuan :
Nasional

Thaipusam: Lebih 1,300 polis ditugaskan kawal keselamatan di Batu Caves

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan melakukan tinjauan sempena perayaan Thaipusam di Batu Caves. – FOTO: NSTP

GOMBAK: Seramai 1,306 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan Batu Caves, di sini, sepanjang perayaan Thaipusam, Selasa depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penugasan itu membabitkan pasukan daripada Bukit Aman, Kontinjen Selangor, Kontinjen Kuala Lumpur dan beberapa kontinjen serta formasi bermula 10 malam, Sabtu.

Menurutnya, selain itu sebanyak tujuh jalan juga akan ditutup bermula tengah malam, Ahad mengikut keadaan semasa bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Penutupan jalan dan persimpangan membabitkan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves dan susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan.

“Selain itu, simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/Jalan Batu Caves Lama, simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves (hadapan stesen minyak Shell) dan jalan susur Batu Caves Bypass menghala ke pintu utama Kuil Batu Caves.

“Orang ramai boleh menggunakan cadangan laluan alternatif yang akan dikemaskini melalui Facebook Polis Daerah Gombak,” katanya pada sidang media Op Palu sempena Thaipusam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan kuil Batu Caves juga kawasan larangan pengoperasian dron dan mana-mana pihak yang mahu menggunakan dron di lokasi berkenaan perlu membuat permohonan daripada pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya gagal mematuhi peraturan.

Katanya, pengunjung yang membawa kenderaan ke kuil Batu Caves turut dinasihat supaya meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan dan sentiasa memastikan kenderaan berkunci.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini