Oleh: Hilmi Abdul Malik
GOMBAK: Sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini tidak hanya tertumpu kepada upacara keagamaan sebaliknya membuka ruang kepada pengunjung luar untuk menyelami kebudayaan penganut agama Hindu.
Bermula seawal jam 6 pagi, kawasan sekitar kuil Batu Caves mula dibanjiri pengunjung untuk turut serta menyaksikan upacara keagamaan itu.
Antara yang menjadi tumpuan utama adalah perarakan Kavadi di mana peserta perlu berarak sejauh beberapa kilometer sebelum menuju masuk ke perkarangan kuil.
Bukan hanya pelancong, bahkan upacara yang disambut hanya sekali setiap tahun itu turut mencuri tumpuan bagi golongan jurugambar yang mula berkampung sejak awal pagi.
Menurut salah seorang pengunjung luar, Romano yang merupakan warga Jerman, beliau akui kunjungan itu hanya semata-mata bagi mendapatkan gambar-gambar menarik menerusi lensa kameranya.
“Saya datang dari jauh hanya untuk dapatkan gambar yang menarik daripada upacara ini. Keadaan trafik memang sesak tapi saya telah sedia awal pagi untuk pastikan tempat tersedia,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 hari ini.
Sementara itu, Jo Anne Tan Kim Yoke yang merupakan warga tempatan pula menyatakan, sebagai rakyat Malaysia, upacara yang jarang disaksikan ini wajar direbut setiap tahun.
“Kita hidup sebagai rakyat Malaysia perlu lihat juga budaya dan perbezaan agama lain walaupun perlu datang awal pagi.
“Kunjungan hari ini saya dapat saksikan betapa uniknya perayaan ini walaupun kita berbeza agama,” ujarnya.
Keberadaan beberapa pengunjung luar serta perbezaan latar belakang agama menjadi bukti kekuatan Malaysia yang sudah sebati dengan kehidupan majmuk sekaligus mampu memperkukuhkan lagi aspek perpaduan di negara ini.
Setakat ini, kawasan di sekitar Batu Caves masih kelihatan sarat dan sesak dengan pergerakan keluar masuk pengunjung mahu pun penganut agama Hindu yang terlibat dengan upacara berkenaan.
Sementara itu, sebanyak tujuh laluan di daerah Gombak juga telah ditutup bagi memastikan kelancaran sambutan Thaipusam yang sedang berlangsung.
Antara laluan yang terlibat termasuklah Jalan Lama Batu Caves, Simpang Tiga Jalan Bunga Raya, dan Jalan Perusahaan menghala ke kuil Batu Caves.
Dianggarkan seramai dua juta pengunjung akan tertumpu di kawasan berkenaan sepanjang sambutan Thaipusam.