![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ROZAK.jpg)
GEORGE TOWN: Seramai 1,045 anggota dan pegawai polis bakal ditugaskan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai sepanjang tiga hari sambutan perayan Thaipusam di Pulau Pinang, minggu depan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata sebanyak 15 jalan akan ditutup bermula Isnin depan.
“Pedati emas akan bergerak pada Isnin ini bermula jam 6 pagi dari Lebuh Queen ke Jalan Air Terjun manakala pedati perak akan bergerak sejam kemudian dari Lebuh Penang juga menuju ke Jalan Air Terjun.
“Perarakan balik dua pedati itu masing-masing dijadual bermula pada jam 6 petang dan 7 malam dari Jalan Air Terjun ke tempat asal pada Rabu,” katanya.
Beliau berkata antara jalan terlibat ialah Jalan Gotlieb, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Kebun Bunga, Jalan Utama, Jalan Brook, Jalan Wright, Jalan Park, Jalan DS Ramanathan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Tambahnya, Jalan Victoria turut akan ditutup pada hari Isnin bermula jam 12 tengah malam dan Jalan Lebuh Campbell pula akan ditutup jam 12 tengah malam Rabu.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memakai barang kemas berlebihan sehingga boleh menarik perhatian penjenayah dengan sekitar 100,000 pengunjung dijangka di lokasi sambutan pada satu-satu masa.
Katanya, perbuatan bermain mercun atau bunga api adalah dilarang di lokasi sambutan berkenaan dengan mana-mana individu yang ingkar arahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
Abdul Rozak berkata, penggunaan dron sepanjang sambutan perayaan Thaipusam berlangsung juga tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.