
GOMBAK: Seramai 1.5 juta pengunjung dianggarkan memenuhi kawasan Batu Caves sempena sambutan Thaipusam, di sini, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Setakat ini, katanya, satu kes kematian dilaporkan semalam (10 Februari) akibat serangan jantung di Batu Caves.

“Meskipun dipenuhi jutaan pengunjung namun keadaan di kawasan persekitaran Batu Caves adalah terkawal selepas lebih 1,500 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor ditempatkan di sini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan Thaipusam.
“Pada masa ini juga keadaan trafik dan lalu-lintas terkawal, hanya pergerakan perlahan dilaporkan di laluan berhampiran sekitar Batu Caves,” katanya kepada BH sebentar tadi.
Hussein juga menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi arahan dan nasihat pegawai serta anggota polis di kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.