Oleh: Syafiqah Damanhuri
SEPANG: Kira-kira 60,000 rayuan diterima Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 19 Disember tahun lalu sehingga hari ini untuk menunaikan ibadah itu bagi musim 1446H/2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Naim Mokhtar berkata, proses surat tawaran masih berjalan hingga 15 Januari ini.
“Namun, setakat ini 20 peratus sudah menerima tawaran, maknanya mereka sudah pergi pemeriksaan dan sudah terima (tawaran).
“Maknanya kalau tiada respon sampai 15 Januari, maknanya tak adalah.
“Kemudian kita akan mulakan proses rayuan selepas 15 Januari,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah & Pelancongan Kali Ke 3 di sebuah hotel di sini.
Tambahnya, seperti tahun lalu, tidak ramai yang menolak tawaran menunaikan ibadah itu dan beliau menjangkakan situasi sama walaupun terdapat peningkatan kos.
“Tak ramai yang tolak sebab kos tu. Saya sebut sini macam tahun lepas kira-kira 9,000 lebih, semua diterima dan bersetuju untuk bayar penuh.”
“Saya ingat hal peningkatan yang tinggi itu bukannya isu dan tarikh akhir surat tawaran haji dikeluarkan bagi musim ini adalah pada 15 Januari,” ujarnya.
Terdahulu beliau menyampaikan sijil penyertaan kepada 37 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) yang telah dilesenkan.
Beliau menjangkakan lebih 16,000 akan menghadiri karnival anjuran Tabung Haji bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA).
Untuk rekod kuota jemaah haji bagi Malaysia pada tahun ini adalah 31,600.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.