Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] TH-Mashariq meterai kontrak tangani kenaikan kos haji 

 

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) dan syarikat Mashariq Holdings yang berpangkalan di Makkah, memeterai kontrak selama tiga tahun sebagai usaha menangani kenaikan kos ibadah haji setiap tahun serta meningkatkan perkhidmatan kepada jemaah Malaysia, terutama pada waktu puncak haji atau masyair.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kontrak itu membolehkan kos kemudahan dan perkhidmatan asas disediakan syarikat terbabit untuk jemaah ketika menunaikan Rukun Islam kelima di Makkah dikekalkan pada kadar harga sama mulai tahun ini hingga 1446H/2025M.

Bagaimanapun,  kadar tetap itu hanya bagi perkhidmatan diberikan Mashariq, khususnya kemudahan untuk jemaah Malaysia ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada waktu puncak ibadah haji atau masyair.

Katanya, bayaran itu sebahagian daripada keseluruhan kos ibadah haji di Tanah Suci yang meliputi pelbagai elemen lain seperti penginapan, tiket penerbangan, sajian dan bayaran wajib tertentu kepada Kerajaan Arab Saudi.

Syed Saleh ketika berucap pada Majlis Ta’aruf Rombongan Haji Malaysia dengan Syarikat Mashariq Holdings di Makkah. – foto NSTP

Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata, kontrak dengan Mashariq merangkumi kos sambutan jemaah haji Malaysia memasuki Makkah dan penghantaran mereka keluar dari bandar al-Mukarramah sama ada ke Madinah atau Malaysia, dan pemantauan terhadap kebajikan tetamu Allah atau Dhuyufurrahman sepanjang berada di Makkah.

“Seterusnya, elemen paling penting ialah perkhidmatan serta kemudahan ketika masyair seperti dari segi khemah penginapan, pendingin hawa, makan minum, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji antara Makkah, Arafah, Muzdalifah serta Mina.“Selain itu, urusan bimbingan dan pandu arah kepada jemaah haji seperti ketika menunaikan umrah pertama serta melontar di jamrah. Semua perkhidmatan berkenaan akan diurus serta disediakan oleh pihak Mashariq,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ta’aruf Rombongan Haji Malaysia dengan Mashariq Holdings bagi Musim Haji 1444H/2023M, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Pengerusi Mashariq Holdings, Adnan Hussain Mandourah; serta barisan kepemimpinan rombongan haji Malaysia dan syarikat berkenaan.

Ia kali pertama kontrak jangka panjang ditandatangani antara kedua-dua pihak, sekali gus dapat mengawal kenaikan kos kerana harga sama ditetapkan bagi perkhidmatan dan kemudahan selama tiga tahun.

Sebelum ini, perjanjian dimeterai secara tahunan dengan Muassasah Tewafa Asia Tenggara yang kini dijenamakan semula sebagai Mashariq.

Beliau memaklumkan ia berikutan sejak tahun lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menekankan supaya semua perkhidmatan haji diswastakan bagi mewujudkan persaingan sihat serta mempertingkat mutu perkhidmatan kepada jemaah.

​​​​​​​“Oleh itu, sekiranya ada kekurangan yang mungkin didapati dalam perkhidmatan disediakan Mashariq kepada jemaah haji nanti, kita boleh berpegang kepada kontrak ini dan berbincang lebih lanjut. Malah, kita juga akan mempunyai ruang untuk membawa perkara berkenaan ke peringkat lebih tinggi kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, jika ia penting serta kritikal,” katanya.

Loading...
Terkini