comscore
Tumpuan :
Nasional

TH laporkan 3 kematian baharu jemaah haji

 

FOTO: Reuters

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) melaporkan tiga kematian baru termasuk seorang yang meninggal hari ini membabitkan jemaah pakej dari Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Allahyarham Sakinah Jalil, 66, berasal dari Sungai Buloh, Selangor meninggal dunia di pekarangan sebuah pasar raya di Syisa akibat serangan jantung jam 4.30 petang, kelmarin.

Dua lagi kematian iaitu jemaah dari Jengka, Pahang, Allahyarham Baharuddin Mohd Shood, 75, dan Allahyarham Abd Manaf Hanafiah, 65, dari Alor Star, Kedah.

Allahyarham Baharuddin meninggal dunia pada 11 Jun lalu, jam 5.10 petang akibat kanser usus yang didapati sudah merebak ke sistem hempedu

Manakala Allahyarham Abd Manaf meninggal dunia akibat serangan jantung di hospital Makkah Medical Centre, pada 13 Jun lalu, jam 5.30 petang.

Kedua-dua Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata beberapa jemaah juga telah dimasukkan ke Hospital Tabung Haji di Shisha akibat cuaca panas ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Kebanyakan pesakit yang dimasukkan ke hospital ini disebabkan cuaca panas di Arafah, Muzdalifah dan Mina mengakibatkan beberapa jemaah jatuh sakit kerana masalah berkaitan paru-paru,” katanya kepada Petugas Media Tabung Haji selepas mengadakan lawatan ke Hospital Tabung Haji, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi TH, Tan Seri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan dua ahli Lembaga Pengarah, iaitu Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Abdul Mokhti Salleh.

Sebelum itu, TH melaporkan satu kebakaran berlaku membabitkan dapur di sebuah khemah milik syarikat PJH, namun keadaan terkawal dan tidak mengganggu operasi haji.

Mohd Naim berkata, dukacita dimaklumkan satu kebakaran dapur salah sebuah khemah milik syarikat PJH itu namun ia dapat dikawal daripada merebak kerana pihak bomba datang dengan pantas.

Menurutnya, jemaah haji yang berada berhampiran kawasan tersebut ketika kejadian juga berada dalam keadaan selamat.

“Punca kejadian kebakaran masih disiasat oleh pihak berkuasa. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang mengambil tindakan pantas dan dapat mengawal situasi dalam jangka masa pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kebakaran membabitkan sebuah dapur di khemah milik PJH berhampiran kompleks Jamarat, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini