PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penambahan bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim 1446H/2025M ini berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang telah memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.
“Tabung Haji sangat terbuka dalam pemberian Lesen PJH kepada mana-mana syarikat pelancongan yang memohon serta memenuhi kelayakan dan seterusnya melepasi penilaian TH.
“Saya yakin syarikat-syarikat PJH yang telah terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia,” katanya di majlis penyerahan lesen PJH bagi Musim Haji 1446H/2025M di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH.
Bagi memudahkan urusan haji, beliau berkata TH juga telah melancarkan Sistem Agensi Haji, satu sistem digital untuk memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH.
Sistem ini dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses, dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.
“Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyeru semua PJH pada musim haji 1446H untuk terus menawarkan pakej haji ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai salah satu inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal haji untuk menunaikan ibadah haji dengan harga yang berpatutan.
Mohd Na’im juga berkata kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun, dan menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memastikan pakej haji yang dipilih adalah melalui syarikat yang dilesenkan oleh TH.
Beliau mengingatkan bakal haji mengenai peraturan ketat yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi, khususnya mengenai larangan menunaikan haji tanpa permit yang sah dan mengingatkan bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi peraturan ini untuk mengelakkan masalah semasa di Tanah Suci.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.