KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menggesa 31,600 bakal haji bagi musim 1444H/2023M segera menjawab surat tawaran haji yang sudah dikeluarkan bermula 22 Mac lalu.
Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal haji Malaysia boleh menyemak serta menjawab tawaran haji yang sudah dikeluarkan dengan melayari www.thijari.com.my atau memuat turun aplikasi ThiJARI.
“Pihak kami memohon kerjasama semua bakal haji tahun ini untuk menjawab sama ada setuju atau tidak untuk menerima tawaran haji tahun ini dalam masa tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang dalam akaun TH untuk sejumlah bayaran haji seperti yang tertera dalam surat tawaran.
Selain itu, katanya bakal haji juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan TH yang berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.
Katanya, pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital ataupun klinik kerajaan dan swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).
“Semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperolehi visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran,” katanya.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
Isnin lalu BH melaporkan, sebanyak 31,600 surat tawaran menunaikan ibadah haji dikeluarkan TH mulai Rabu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, dilaporkan berkata ia akan diedarkan secara berperingkat kepada jemaah terpilih.