KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meminta orang ramai sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan scammer di Facebook dan TikTok.
Kenyataan TH memaklumkan terdapat pihak yang menyamar dan menggunakan logo agensi itu serta menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan di platform berkenaan.
“TH menyarankan pendeposit dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tipu helah yang dilakukan scammer.
“Terbaharu, pihak yang tidak bertanggungjawab (scammer) kini menggunakan taktik di mana mereka mengiklankan skim pelaburan di media sosial seperti Facebook dan TikTok.
“Iklan-iklan ini akan dihubungkan dengan aplikasi WhatsApp untuk terus memperdaya orang ramai dengan menjanjikan keuntungan tinggi dan pantas,” katanya.
Kenyataan berkenaan memaklumkan TH turut menasihati orang ramai terutamanya pendeposit TH berhati-hati supaya tidak mudah percaya dan terjerat dengan tawaran pelaburan menerusi skim-skim meragukan.
“TH sentiasa memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada pendeposit di platform komunikasi rasmi TH.
“Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919,” katanya.