Tumpuan :
Nasional

Tetak rakan gara-gara pakej ‘murah’

Foto hiasan

PAPAR: Ejen pelancongan ditahan selepas dipercayai menetak kenalannya di Jeti Sungai Kampung Kawang, Beringgis, di sini, Rabu lalu.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan jam 4 petang, semalam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar yang dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Katanya, kedua-dua mereka kenal sesama mereka dan bekerja sebagai ejen pelancongan di syarikat berlainan.

“Pertikaian antara mereka bermula apabila syarikat suspek menawarkan pakej harga lebih rendah berbanding syarikat mangsa kepada pelancong Korea.

“Ia menyebabkan kebanyakan pelancong dari Korea beralih daripada syarikat mangsa kepada syarikat suspek.

“Mangsa yang tidak puas hati kemudiannya menegur suspek yang membawa kepada pertengkaran antara mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, suspek secara tiba-tiba mengambil sebilah sabit dari keretanya dan terus melibas ke arah mangsa.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa cedera di bahagian telinga kiri dan tangan kiri manakala suspek pula terus melarikan diri.

“Mangsa yang berada dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk menerima rawatan.

“Setakat ini mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini