Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang dituduh atas kesalahan membunuh ibu saudaranya di Butterworth, Selasa lalu yang tular selepas tertuduh terjun dari Jambatan Pulau Pinang dalam cubaan bunuh diri selepas kejadian itu.
Pertuduhan terhadap tertuduh, Ong Kok Bu, 29, dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di mana dia sedang menerima rawatan akibat cedera di kaki dalam cubaan bunuh diri.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Lee Yen Suan, 42, di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Taman Sin Tat, Butterworth, pada jam 10.55 pagi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret menetapkan 25 Mac depan bagi sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Mohd Asri Shafie berkata, mangsa merupakan ibu saudara kepada tertuduh dan kejadian dipercayai bermotifkan cemburu.
Tertuduh dilaporkan terjun dari Jambatan Pulau Pinang sejurus melakukan jenayah itu, namun diselamatkan nelayan dan anggota bomba.