comscore
Tumpuan :
Nasional

Teruskan Sambutan Ambang 2023 bukan bererti Sarawak tidak simpati nasib mangsa banjir

KUCHING: Tindakan Sarawak meneruskan sambutan ambang tahun baharu 2023 bukan mencerminkan kerajaan negeri itu tidak prihatin terhadap musibah bencana banjir yang melanda ketika ini.

Ini kerana bencana itu berlaku setiap tahun dan segala persiapan untuk berhadapan dengan bencana terbabit sudah dilakukan awal termasuk peruntukan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

Menteri Perlancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bencana banjir tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membatalkan sebarang sambutan ambang tahun baharu di Sarawak.

Jelasnya, walaupun bersimpati dengan musibah yang menimpa mangsa banjir namun banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2022 yang layak untuk diraikan menerusi sambutan ambang tahun baharu berkenaan.

“Tidak dinafikan saya setuju banjir besar berlaku namun ia terjadi tiap-tiap tahun dan ini tidak bererti tiap-tiap tahun kita batalkan sahaja sambutan ambang tahun baharu itu kerana kita tahu setiap tahun pada penghujung tahun adalah musim monsun.”

“Adakah tahun hadapan kita perlu batalkan juga sambutan ini? Saya bukan hendak pertahankan tetapi saya rasa tidak salah untuk kita sambutnya tetapi pada skala yang lebih kecil,” katanya ketika ditemui selepas mmenghadiri Rumah Terbuka Krismas Gereja Anglikan di Kuching yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Terdahulu, Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 peringkat negeri Sarawak dijadual berlangsung di Tebingan Kuching pada tengah malam 31 Disember ini.

Bagaimanapun lokasi terbabit ditukar ke Stadium Perpaduan Kuching sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 dibatalkan atau disambut pada skala kecil.

Loading...
Terkini