JITRA: Pempengaruh yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jitra Dr Haim Hilman Abdullah ikrar untuk terus menggunakan platform media sosialnya seperti TikTok, medium mendekati masyarakat.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu yang kerap menyampaikan motivasi menerusi aplikasi TikTok sebelum ini, melihat platform itu berguna dalam membantunya berkempen.
“Insya-Allah, saya akan terus menggunakan TikTok selepas mendapat banyak maklum balas baik daripada pengguna TikTok.
“Saya akan terus beri mesej positif kepada semua untuk bangkit dan berusaha menjadi negeri berjaya,” katanya.
Katanya, menerusi platform TikTok ini juga, ia secara tidak langsung akan dapat membangunkan masyarakat menjadi lebih berinformasi selain mengisi jiwa untuk pembangunan dan kelangsungan agama dan tanah air.
“Saya lihat jika TikTok atau media sosial yang lain digunakan secara bijak dan berhemah, Insyaallah akhirnya ia akan membangunkan masyarakat yg benar memberikan jiwanya untuk pembangunan dan kelangsungan agama dan tanah air.
“Malah, TikTok juga adalah satu medium yang sangat membantu dalam berkongsi wacana pemikiran serta perancangan saya kepada masyarakat terutama di DUN Jitra ini,” katanya.
Semalam, Haim menewaskan pencabar daripada Pakatan Harapan (PH), Datin Sabrina Ahmad, 45, yang juga Ketua Wanita PKR Kedah dengan majoriti 23,172 undi.
Dalam persaingan satu lawan satu itu, Haim mendapat 34,342 undi manakala Sabrina meraih 11,170 undi.