comscore
Tumpuan :
Nasional

Tertuduh amang seksual mengaku tidak bersalah cabul kanak-kanak

Asran Mohd Tahir dibawa ke Penjara Sungai Udang selepas gagal membayar ikat jamin RM10,000. – Foto: NSTP

MUAR: Seorang pekerja penyelenggaraan lebuh raya gagal membayar ikat jamin RM10,000 menyebabkan dia dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka.

Tertuduh Asran Mohd Tahir, 40, sebelum itu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak empat tahun yang diasuh isterinya, bulan lalu.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat  menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh gagal membayarnya.

Mengikut kerta pertuduhan, Asran didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang ketika itu di bawah jagaan isterinya berikutan ibu bapa mangsa bertugas di luar kawasan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Simpang Renggam, dekat sini antara jam 11 pagi hingga 6.45 petang, 19 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga dua puluh tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu,  Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir memohon supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dengan mengambil kira keadaan mangsa yang juga seorang kanak-kanak.

“Mahkamah perlu mempertimbangkan kebarangkalian memandangkan tertuduh dengan mangsa juga tinggal tidak berjauhan,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin paling rendah kerana perlu menanggung dua anak masih bersekolah serta mengalami masalah kesihatan.

Abu Bakar menetapkan sebutan semula kes 15 November ini.

Loading...
Terkini