KUALA TERENGGANU: Gara-gara terpengaruh dengan iklan pelaburan di aplikasi Whatsapp, seorang ahli perniagaan warga emas terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM704,000.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemamant Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 73 tahun itu mendakwa melihat iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat di aplikasi WhatsApp bulan lepas.
“Mangsa yang tertarik dengan iklan itu telah diarahkan suspek supaya memasukkan wang ke tiga akaun berbeza dengan lelaki itu telah membuat 10 transaksi berjumlah RM704,000 dalam tempoh 4 November hingga 5 Disember.
“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa belum menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan dia yang merasa tertipu telah membuat laporan polis jam 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Muhamad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan merujuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.