SEREMBAN: Selepas 10 tahun tertangguh, akhirnya bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga Siliau Rantau dekat sini, dapat beroperasi dan digunakan 40 orang murid serta 10 guru.
Ia susulan proses pengurusan projek pembinaan bangunan baharu sekolah berkenaan tertangguh sekian lama sejak 2014.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin, berkata projek pembinaan bangunan baharu SJKT Ladang Sagga bermula pada 2012 dan sepatutnya siap serta boleh digunakan pada 2014.
“Bagaimanapun pengoperasian bangunan ini tertangguh sekian lama disebabkan pelbagai masalah terutama aspek aset kelengkapan keselamatan seperti peralatan kebakaran bomba dan beberapa kemudahan yang lain.
“Sepatutnya bangunan baharu blok dua tingkat ini boleh digunakan pada 2014, tapi baru hari ini ia mula beroperasi.
“Ini sekolah kedua di Negeri Sembilan yang mengalami nasib sama dengan sebuah lagi SJKT Ladang Pertang, tapi sudah mula beroperasi pada sesi persekolahan tahun baharu 2024 ini,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Lawatan Kerja Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di SJKT Ladang Sagga Siliau, di sini, hari ini.
Dr Roslan berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai usaha dan tindakan diambil oleh JPNS untuk memastikan bangunan itu dapat digunakan murid sekolah terbabit.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, murid sekolah berkenaan terpaksa belajar di bangunan lama yang terletak bersebelahan, namun kurang selesa selain boleh menjejaskan keselamatan mereka kerana bangunan papan.
SJKT Ladang Sagga mula ditubuhkan pada 1945 dan ketika ini seramai 40 orang murid dari kalangan anak penduduk Kampung Sagga yang belajar di situ dengan bimbingan seramai 10 orang guru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.