comscore
Tumpuan :
Nasional

Terpedaya lebih RM400,000 akibat pelaburan tak wujud

Foto hiasan

BATU PAHAT: Akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan mata wang digital yang tidak wujud pada Mac lepas, seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM400,900.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 64 tahun itu berurusan dengan individu tidak dikenali melalui Facebook sebelum meneruskan komunikasi melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan keuntungan besar yang ditawarkan menerusi pelaburan mata wang digital itu diberikan pautan untuk ke satu laman web.

“Mangsa kemudiannya memasukkan maklumat di dalam platform berkenaan.

“Dalam tempoh 3 April hingga 18 Jun mangsa membuat pindahan wang ke lapan akaun berbeza secara berperingkat berjumlah RM400,900,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrulanuar berkata, mangsa kemudiannya menerima mesej daripada suspek menyatakan akaun pelaburannya telah disita oleh Kementerian Kewangan Amerika Syarikat dan perlu membuat bayaran sebanyak tiga peratus dari jumlah pelaburan untuk menebusnya.

“Mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki ditipu dan membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini