TUMPAT: Kira-kira 48,635 pengguna di beberapa kampung di Pasir Mas dan Tumpat di sini, terpaksa menggunakan air dari telaga tiub untuk membersihkan diri susulan susulan gangguan bekalan air sejak 4 hari lalu.
Malah penduduk juga difahamkan mengambil inisiatif sendiri dengan membeli air mineral untuk kegunaan harian.
Ada pula yang meminta air dari rumah saudara mara dan jiran terutamanya untuk kegunaan di bulan Ramadan ini.
Bagi Zulkarnin Che Zakaria, 50, dari Kampung Pak Keral, di sini, gangguan air sudah berlaku sejak empat hari lalu dan dalam tempoh itu, dia dan sembilan ahli keluarganya menggunakan air dari telaga tiub untuk membersihkan diri manakala untuk makan minum pula, terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli air.
“Sebelum ini pernah berlaku gangguan bekalan air tapi tidaklah berlarutan beberapa hari seperti ini dan telaga di hadapan rumah hanya digunakan jika berdepan dengan masalah seperti ini.
“Bagaimanapun, air telaga ini agak berbau dan memang tidak boleh digunakan untuk makan minum menyebabkan kami perlu sediakan kos tambahan untuk membeli air dari mesin air bertapis,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Zulkarnin berkata, gangguan air yang berterusan itu turut menjejaskan operasi kedai makannya di Kampung Jubakar Pantai, di sini.
Dia juga terpaksa mengambil air dari telaga rumahnya dibawa ke premis itu untuk kegunaan pelanggan serta membasuh pinggan mangkuk.
Katanya lagi, sepanjang Ramadan, dia mula membuka operasi kedai makannya jam 6 petang dan beberapa jam sebelum itu dia dengan dibantu anak serta pekerja akan mula memunggah bekalan air menggunakan pacuan empat roda.
“Memang sangat susah apabila tiada air begini dan saya bercadang untuk meminta bekalan air dari pihak berkuasa tempatan agar datang mengisi air dalam tong yang disediakan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, gangguan bekalan air yang berlaku sejak beberapa hari lalu akibat musim kemarau yang berterusan sehingga menyebabkan berlakunya penurunan paras air yang kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi kenyataan media berkata, gangguan itu juga disebabkan kerosakan dua unit pam akibat mendapan pasir dan sampah malah pihaknya sedang menjalankan beberapa inisiatif dan dijangka keadaan kembali pulih menjelang Aidilfitri nanti.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas, Muhammad Syafiq Aiman Abd Halim, 25, berkata mereka sekeluarga terpaksa catu segala aktiviti yang menggunakan air sebagai langkah penjimatan.
“Sebelum ini memang pernah berdepan dengan gangguan bekalan air tapi kali ini sangat melampau kerana ia berlarutan sejak lima hari lalu dankami enam beranak perlu berjimat menggunakan air.
“Pinggan mangkuk yang digunakan ketika berbuka puasa dan sahur juga mengambil masa untuk dicuci dan jika gangguan air ini berterusan hingga Aidilfitri, memang sangat bermasalah bagi kami,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.