Tumpuan :
Nasional

Terowong TRX dibuka 29 Nov, kurangkan 30 peratus kesesakan di ibu negara

Alexander (tengah) mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan kerja bersama bersama DBKL dan LLM bersempena pembukaan Terowong TRX. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pembukaan terowong bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) di sini, bermula Rabu depan dijangka mengurangkan kesesakan trafik ke kawasan sekitar kira-kira 30 peratus.

Terowong sepanjang lima kilometer itu akan menghubungkan TRX kepada 12 lebuh raya serta jalan utama seperti Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Terowong Smart dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE).

Selain itu, terowong TRX yang mempunyai akses langsung kepada Jalan Tun Razak serta Lebuhraya Smart akan membentuk satu sistem pusingan untuk memudahkan kenderaan keluar dan masuk dari kawasan pembangunan ini.

Dengan adanya kemudahan ini, pengguna menuju ke TRX tidak perlu bersesak berikutan kenderaan yang masuk akan melalui terowong pusingan ini sebelum terus ke tempat letak kenderaan di bawah bangunan yang terletak di kawasan ini.

Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan infrastruktur jalan bagi menyokong TRX sebagai sebuah Pusat Kewangan Negara akan merancakkan lagi ekonomi negara.

“Bagi sebuah projek nasional sebesar ini di lokasi bandar utama, TRX menjalankan banyak perancangan strategik untuk memudahkan akses bagi pengguna pengangkutan awam dan kenderaan persendirian.

“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan TRX sebagai destinasi perniagaan dan sosial antarabangsa.

“Sebagai contoh, usaha sama dengan Dewan Bandar Kuala Lumpur (DBKL) untuk projek Penyebaran Trafik Jalan Tun Razak yang baru selesai boleh mengurangkan trafik masuk ke bandar sebanyak kira-kira 30 peratus,” katanya ketika meninjau persiapan menjelang pembukaan terowong TRX di sini, hari ini.

Terowong TRX akan dibuka kepada orang ramai serentak dengan pembukaan pusat beli-belah The Exchange TX dan Taman Bandar TRX yang berkeluasan 10 ekar (4.04 hektar).

Sistem rangkaian jalan raya ini turut disokong stesen MRT Tun Razak Exchange yang menjadikan TRX sebagai sebuah pembangunan dengan ketersambungan terbaik dalam Kuala Lumpur.

Stesen pertukaran MRT ini adalah satu-satunya stesen dalam bandar yang menghubungkan Laluan Kajang dengan Laluan Putrajaya.

Pengguna boleh tiba di TRX dalam masa 45 minit dari mana-mana 64 stesen dalam rangkaian MRT.

Loading...
Terkini