comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Termakan keropok perangkap monyet mengandungi racun tikus, 2 beradik kritikal

 


Oleh: Selwam Arjunan

KULIM: Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai termakan makanan ringan mengandungi racun tikus yang merupakan perangkap haiwan, dalam kejadian di Kampung Padang Ubi dekat Labu Besar, di sini, semalam.

Kejadian disedari ibu mangsa berusia 25 tahun kira-kira jam 11 pagi selepas mendapati kedua-dua anaknya mengalami muntah dan mulut berbuih.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, dua beradik itu dipercayai termakan makanan ringan berupa keropok mengandungi racun tikus yang digantung pada dawai besi sekeliling pagar kebun.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah termakan keropok makanan segera yang mengandungi racun tikus.

“Keropok itu digantungkan oleh pekebun kampung di dawai besi sekeliling pagar kebun bertujuan untuk memerangkap monyet,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, setengah jam kemudian, ibu mangsa membawa dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim untuk rawatan.

Bagaimanapun, pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Susulan itu, mereka segera dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang pada jam 7.30 malam tadi untuk rawatan lanjut.

Supt. Mohamad Azizul berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang disyaki jiran mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) atas pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini