Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Mayat ke-7 tragedi Jeram Mawar, Blok 6 Sungai Air Putih di sini, disahkan sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun.
Ia disahkan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Hanyan Ramlan.
Pengesahan difahamkan selepas proses pengecaman yang dibuat bapa saudara mangsa, Syawalluddin Eiyi, sebentar tadi di Pusat Operasi SAR, Balai Polis Air Putih.
Menurut Syawalluddin, pengesahan itu dibuat berdasarkan subang dipakai mangsa dan juga raut wajah.
“Saya sangat sedih kerana arwah adalah anak saudara yang paling rapat dengan saya yang manja dipanggil kakak.
“Saya tertanya-tanya kenapa Allah ambil semua sekali dalam masa yang sama saya reda dengan ujian ini walau berat untuk menerimanya”, katanya sambil gagal menahan sebak selapas pengecaman mayat dibuat.
Terdahulu penduduk kampung menemui mayat ke 7 itu kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
Artikel berkaitan : Tragedi kepala air: Lagi mayat mangsa ditemui
Difahamkan lokasi penemuan mayat itu di belakang Masjid Dadong.
Mayat remaja perempuan itu dibawa naik dari sungai jam 8.15 pagi tadi dan di bawa ke Pusat Kawalan Operasi SAR Balai Polis Air Putih.
Bagaimanapun identiti belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
Ketika ini 3 lagi mayat belum ditemui iaitu Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.
Dalam perkembangan lain, Perkhidmatan Kesihatan mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Terengganu, turun padang memberi sokongan moral kepada ahli keluarga mangsa.