comscore
Tumpuan :
Nasional

TERKINI: Mangsa banjir Kedah meningkat kepada 6,868 mangsa di 42 PPS

Kediaman penduduk di Titi Gajah yang mula dinaiki air berikutan limpahan Sungai Kepala Batas di Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit yang melepasi paras bahaya. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Jumlah mangsa yang berpindah ke 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini meningkat kepada 6,868 mangsa daripada 2,194 keluarga.

Jumlah itu dilaporkan setakat jam 9 malam ini berbanding 6,718 mangsa daripada 2,115 keluarga yang dilaporkan jam 6 petang hari ini.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa di daerah Kota Setar terus mencatatkan peningkatan kepada 3,094 mangsa daripada 1,006 keluarga.

Jumlah itu mencatatkan pertambahan mangsa berikutan sebuah lagi PPS dibuka di daerah ini berbanding 12 buah PPS yang hanya menempatkan seramai 2,945 mangsa daripada 967 keluarga petang tadi.

Dalam pada itu, daerah Kubang Pasu masih kekal seramai 1,602 mangsa daripada 562 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS di daerah itu.

Selain itu, lima PPS di Pokok Sena menunjukkan penurunan apabila 910 mangsa daripada 270 keluarga berbanding 917 mangsa daripada 273 keluarga.

Dalam pada itu, daerah Pendang juga mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 950 mangsa daripada 266 keluarga di lapan PPS berbanding 933 mangsa daripada 264 keluarga sebelum ini.

Selain itu, daerah Kuala Muda pula kekal kepada 184 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS daerah itu dan daerah Bandar Baharu pula kekal 128 mangsa daripada 29 keluarga.

Bagaimanapun dua PPS di daerah Kulim pula ditutup sepenuhnya hari ini selepas banjir mulai surut.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan enam sungai di negeri ini masing-masing tiga di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu masih kekal melepasi tahap bahaya setakat jam 9 malam hari ini.

Lima sungai terbabit mencatatkan trend menaik ketika ini manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas daerah Kubang Pasu menunjukkan penurunan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini