KUALA LUMPUR : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Terengganu kini meningkat kepada 39,698 orang.
Jumlah tersebut membabitkan mangsa dari 10,987 buah keluarga setakat jam 10 malam tadi..
Sebanyak 312 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan semua mangsa banjir di Terengganu.
Sementara itu di Kelantan, 138 PPS masih beroperasi dengan 31,248 mangsa dari 8977 keluarga.
Daripada jumlah tersebut, 11,168 daripadanya adalah kanak-kanak.
JKM turut melaporkan dua PPS di Perak dan Johor masih beroperasi dengan kurang 60 orang mangsa bagi setiap negeri.
Sebelum ini JKM telah menutup sebuah PPS di Pahang menjadikan jumlah PPS masih beroperasi disana sebanyak tiga buah.
Pahang masih merekodkan 221 mangsa banjir dari 62 buah keluarga di sekitar daerah Kuantan termasuk Kampung Sungai Ular, Cherating dan Chendor Baru.
Sebelum ini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan empat PPS yang dibuka di negeri itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, SK Sungai Karang, SK Sungai Ular dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung.