comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Terkilan tidak sempat bergambar dengan kakak

Suhaimi Jusoh menunjukkan gambar arwah kakaknya, Che Hasnah Jusoh yang maut dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini, awal pagi tadi. – FOTO: NSTP

MACHANG: “Saya terkilan kerana tidak sempat mengambil gambar bersama arwah kakak ketika datang beraya di rumahnya baru-baru ini,” kata Suhaimi Jusoh, 55.

Suhaimi adalah adik kepada Che Hasnah Jusoh, 67, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini, awal pagi tadi.

Suhaimi berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah kakak sulungnya itu pada Jumaat lalu.

“Setiap kali kami sekeluarga berkumpul, arwah suka sangat bercerita mengenai masakan dan selepas ini pasti masakannya akan dirindui,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Machang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, dia menerima panggilan daripada keluarga mengenai kejadian yang menimpa arwah kakaknya itu pada jam 7.30 pagi tadi.

“Sebaik menerima panggilan telefon, saya yang berada di rumah di Ayer Lanas, Jeli, bergegas ke Hospital Machang dan ketika dalam perjalanan, saya mendapat panggilan kedua yang memaklumkan arwah kakak sudah meninggal dunia ketika sedang dirawat.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah walaupun dalam keadaan terkejut,” katanya.

Katanya, arwah Che Hasnah serta cucunya itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gendang Lima selepas selesai bedah siasat.

Keadaan kereta yang dinaiki nenek serta cucunya selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini, awal pagi tadi. – FOTO: NSTP

Dalam kejadian awal pagi tadi, wanita warga emas dan cucu perempuannya maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini,.

Nahas jam 5.10 pagi itu, menyebabkan mangsa, Nurin Damia Mohd Nizam, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah, manakala Che Hasnah Jusoh meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Machang.

Loading...
Terkini