PENAMPANG: Sebuah keluarga di Taman Kemayan, di sini cemas selepas bunyi bising di belakang rumah rupa-rupanya seekor ular sawa sepanjang tiga meter sedang membelit seekor angsa.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu disedari pemilik kediaman berusia 57 tahun.
@buletintv3 Anggota APM Penampang menangkap seekor ular sawa yang sedang membelit angsa peliharaan seorang penduduk di Taman Kemayan, Penampang, Sabah. #beritaditiktok #buletintv3 #Sabah #ularsawa
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Penampang, Leftenan (PA) Helson Marajun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 pagi.
Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan operasi seterusnya menjalankan usaha menangkap ular seberat lapan kilogram itu menggunakan full PPE.
“Semua anggota terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak pengadu amat berpuas hati dengan bantuan APM menangkap reptilia berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Helson berkata, ular sawa terbabit kemudian dilepaskan semula ke habitat asalnya yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.
Operasi ditamatkan pada jam 9.01 pagi.