Tumpuan :
Nasional

Terkejut jumpa bayi dibuang di semak belakang surau

FOTO: Ihsan Mohd Sobri Md Saad / Facebook

Oleh: Kumaran Rajamoney

SITIAWAN: “Binatang pun sayang anak. Sanggup lempar buang anak dalam semak macam tu,”

Itu ungkapan Mohd Sobri Md Saad menerusi hantaran di Facebook yang terkejut dengan insiden seorang bayi lelaki dibuang ke dalam kawasan semak di belakang sebuah surau di Kampung Sitiawan, di sini, petang semalam.

Beliau yang singgah di surau itu dimaklumkan mengenai bunyi bayi itu oleh dua Ahli Jawatankuasa (AJK) yang sedang bertugas di situ.

“Balik dari Segari selepas tebang batang pisang singgah pondok nak hantar besan dan ambil periuk majlis. Nampak Cik Rahim dan Pak Yeop di belakang tandas surau sambil mengendap bahagian semak.

“Mereka kemudian maklum ada suara budak. Saya kata bukan kot, sebab belakang tu kerap ada anjing. Mungkin bunyi anak anjing,” katanya.

Namun mereka terkejut apabila tindakan mereka memeriksa kawasan itu menemukan seorang bayi lelaki.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman mengesahkan penemuan bayi itu sekitar jam 6.54 petang, semalam.

Siasatan katanya mendapati bayi itu ditinggalkan dalam semak dengan keadaaan berbalut kain.

Bayi itu telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung bagi rawatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan ibu kepada bayi itu.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Nur Munawara di talian 01116240391 atau menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Manjung di talian 056886222 dan Hotline WhatsApp 0146828005.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini