ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas terkejut sebaik melangkah keluar pintu rumah untuk mengemas, terasa kaki kirinya digigit.
Faridah Abd Ghani, 65, menceritakan kembali mengenai kemunculan anak buaya di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.
Terkejut apabila tiba-tiba terasa ada benda menggigit kaki kiri – Warga emas
Video: Ihsan pembaca pic.twitter.com/Lds04uBUDO
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 1, 2023
“Mak cik baru melangkah keluar pintu dan terkejut apabila tiba-tiba terasa ada benda menggigit kaki kiri,”
Menurutnya, kehadiran anak buaya sepanjang lebih 30 sentimeter itu disedari jam 6 pagi tadi ketika hendak mengemas beranda rumahnya.
“Dalam suasana masih awal pagi dan gelap mak cik sangkakan biawak yang menggigit pada mulanya dan segera memanggil ahli keluarga.
“Bila anak lelaki mak cik tengok betul-betul baru dia tahu haiwan itu adalah anak buaya kerana jika biawak sudah tentu ia lari.
“Tapi anak buaya itu hanya mengangakan mulut sebelum anak mak cik menekupnya dengan tudung saji dan menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia),” katanya.
Faridah berkata, berikutan rumahnya berdekatan pantai, dia ada melihat kelibat buaya berenang di perairan pantai Tanjung Bidara.
“Namun, ini kejadian pertama kali buaya naik ke rumah penduduk dan mujur saya tidak mengalami luka,” katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry ketika dihubungi berkata, Pusat Kawalan Operasi UMT menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.04 pagi.
Katanya, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap anak buaya itu yang dipercayai tersesat daripada habitat asalnya.
Beliau berkata, reptilia itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“Kita meminta orang ramai menghubungi APM dan tidak bertindak sendiri dalam mengendalikan haiwan berbisa atau berbahaya bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.