comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Terjun tingkat dua elak operasi, wanita Myanmar cedera di kepala

 

SEREMBAN: Seorang wanita warga Myanmar berlumuran berdarah kerana cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan rumah kedai ketika premis itu diserbu pihak berkuasa di Seremban 2, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan dikatakan cuba mengelak serbuan sempena Ops Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen di kawasan berkenaan bermula jam 11 malam.
Melihat keadaan wanita itu yang tidak bergerak, pegawai Imigresen segera memanggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, mengesahkan kejadian membabitkan wanita warga Myanmar berusia 35 tahun itu.

“Wanita terbabit cedera pada bahagian kepala selepas terjun dari tingkat dua melalui tingkap sebelum diberikan rawatan awal oleh APM. Keadaannya stabil,” katanya.

Selain kejadian membabitkan wanita itu, beberapa aksi cemas lain turut dikesan sepanjang operasi termasuk tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memanjat bumbung, selain menyelinap ke unit lain melalui balkoni.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan di lima blok bangunan tiga tingkat yang menemukan warga asing menyorok sama ada di balkoni, atas siling dan juga di atas bumbung.

Kennith berkata, sejumlah 628 warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 110 daripada mereka melanggar pelbagai peraturan imigresen.

“Operasi tertumpu di rumah kedai tiga tingkat yang mana unit atasnya dijadikan asrama atau kediaman pekerja asing. Seramai 628 diperiksa sebelum kami menahan 110 daripada mereka,” katanya ketika sidang media selepas operasi.

Beliau berkata, antara ditahan adalah 64 warga, 13 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, sembilan warga Pakistan, masing-masing enam dari India dan Sri Lanka serta dua warga Nepal.

Loading...
Terkini