Tumpuan :
Nasional

Terjatuh dari batu, lelaki dikhuatiri hilang dihanyutkan ombak

FOTO: Ihsan bomba

KUANTAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh dari batu di tepi Pantai Balok dan dihanyutkan arus laut di Kampung Balok Pantai, dekat sini, pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 11 pagi.

Menurutnya, sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat laporan.

Katanya, ketika ini operasi mencari dan menyelamat giat dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Anggota bomba sedang membuat pencarian di permukaan laut berhampiran pantai tempat mangsa terjatuh,” katanya menerusi kenyataan media.

Zulfadli berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan sudah digerakan ke lokasi kejadian untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat.

Sehingga kini, identiti mangsa yang hilang masih belum dapat dikenal pasti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini