Tumpuan :
Nasional

Terima Wang Lusuh, Koyak Daripada Mesin ATM

Foto: NSTP

CHUKAI: Beberapa penduduk terkejut dan kesal selepas menerima kepingan wang yang lusuh dan terkoyak ketika mengambilnya di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Kampung Binjai Kemaman di sini.

Mohd Hanafiah Ali, 70, mendakwa dia dan anaknya terkejut apabila mendapati tiga keping wang RM50 yang pudar selepas mengeluarkannya daripada mesin ATM terbabit, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.

“Anak saya mengeluarkan wang di mesin ATM itu berjumlah RM280 dan kemudiannya menunjukkan kepada saya tiga keping wang RM50 yang pudar dan koyak.

“Bukan itu saja, wang itu juga tidak mempunyai jalur hologram dan nipis berbanding wang RM50 biasa,” katanya.

Beliau berkata, nombor siri tertera pada wang berkenaan juga tidak dapat dibaca.

“Tidak pernah berlaku selama ini ketiga-tiga keping wang RM50 itu tidak boleh saya guna untuk berbelanja kerana tidak diterima di semua kedai.

“Anak saya cuba beberapa kali memasukkan wang itu semula pada mesin deposit tunai, namun ia ditolak,” katanya.

Beliau berkata, ada seorang pengguna mengeluarkan RM1,000 pada mesin ATM itu dan separuh wang yang dikeluarkan lusuh dan tidak boleh digunakan.

“Pekerja stesen minyak di situ ada memberi tahu perkara yang sama turut berlaku kepada beberapa pengguna lain sejak malam tadi,” katanya.

Mohd Hanafiah berkata, susulan itu dia dan anaknya membuat laporan di Balai Polis Chukai.

Sementara itu, Ahmad Sabri Abdullah, 37, berkata dia bernasib baik kerana tidak sempat mengambil wang daripada mesin ATM berkenaan.

“Ketika sedang beratur di mesin ATM itu seorang pelanggan depan saya merungut mendapat wang yang pudar dan rosak.

“Bagi mengelak risiko itu, saya membuat keputusan tidak mengambil wang daripada mesin ATM berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini