Tumpuan :
Nasional

‘Terima kasih semua anggota SAR’ – Ketua Polis Dang Wangi

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sembilan hari, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, sejak 23 Ogos lalu menemui nokhtah apabila operasi itu dihentikan, hari ini.

Walaupun mangsa, G Vijaya Lakshmi, gagal ditemui segala penat jerih anggota pasukan SAR membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan jabatan yang menyumbang tenaga, idea dan kepakaran tetap dihargai.

“Terima kasih di atas usaha yang anda semua dilakukan,” ucapan akhir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman yang bertindak sebagai ‘Ground Commander’ di hadapan semua petugas SAR.

Sulizme Affendy berkata, beliau amat menghargai usaha semua pihak terbabit dalam SAR di lokasi kejadian.

“Penghargaan kepada usaha tuan-tuan dan puan-puan sepanjang operasi di lokasi dalam usaha SAR walaupun keputusan dan pencarian dibuat tidak menjumpai apa-apa.

“Tetapi sekurangnya semangat tuan puan menunjukkan satu komitmen tinggi untuk sama-sama bekerja,” katanya dalam perbarisan akhir setelah SAR ditamatkan, petang tadi.

Kata-kata akhir itu ditujukan kepada semua petugas SAR antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Indah Water Konsortium (IWK).

Sebelum itu, dalam sidang media akhir di lokasi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi SAR yang memasuki hari kesembilan hari ini ditamatkan serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, mangsa dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter ketika berjalan kaki bersama bersama ahli keluarganya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini