
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap ada pengakhiran baik dalam penantiannya mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan memerlukan di kawasannya.
Bercakap kepada FMT, bekas menteri belia dan sukan itu menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kelmarin yang draf perjanjian di antara beliau dan kerajaan untuk menerima dana wakil rakyat kini di fasa akhir.
“Saya dari awal terima cadangan berunding demi mendapatkan peruntukan untuk menjaga kebajikan warga Muar tanpa mengira agama dan kaum terutama golongan memerlukan.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan TPM, moga ada pengakhiran baik,” kata pengasas parti MUDA itu.
Semalam, Fadillah dilaporkan berkata, Syed Saddiq secara prinsip bersetuju dengan beberapa syarat ditetapkan dan dijangka menerima peruntukan untuk kawasannya selepas draf itu dimuktamadkan.
Baru-baru ini, ketika sidang Dewan Rakyat, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya satu jenama fesyen bagi mendapatkan dana untuk pengundi di kawasan Parlimennya.
Beliau berkata, ia susulan usahanya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan belum berhasil selepas Perikatan Nasional (PN) yang mengetuai blok pembangkang mengumumkan ia menolak draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pada September tahun lalu.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik sebagai berkata, PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.-FMT
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.