comscore
Tumpuan :
Nasional

“Terima kasih Permaisuri tercinta kerana sudi terima surat dari rakyat jelatamu di hujung dunia ni”

SURAT diserahkan Sri Wahyu (kiri) kepada Tunku Azizah. Dia juga sempat berswafoto dengan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

KUALA LUMPUR: Aksi wanita yang menjerit sepuas hati selepas menyerahkan sekeping surat kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Sandakan, semalam, menarik perhatian dan mengundang pelbagai reaksi netizen.

Sri Wahyu Ningsi, 26, mengakui dia juga malu melihat video dimuat naik itu dan meminta maaf sekiranya tidak menunjukkan sikap yang baik.

“Walaupun terkejut dengan suara sendiri dan malu mahu tengok semula video itu, semuanya terjadi di luar kawalan saya. Terlalu teruja apabila surat saya sampai terus di tangan Raja Permaisuri. Bila lagi rakyat jelata macam saya ini boleh sampaikan suara hati yang selama ini memang terpendam terutama bab jalan raya?

“Dari Sandakan ke Sapi, belum lagi di daerah lainnya. Semoga surat itu dibaca dan adalah sedikit penambahbaikan selepas ini. Negeri Sabah ni (ini) sebenarnya kaya tapi ya begitulah.

“Sekali lagi saya minta maaf kalau dalam video tu (itu) saya tidak menunjukkan sikap yang baik. Tiada niat mahu kurang ajar atau tidak beradab. Sesungguhnya itu semua terjadi di luar kawalan. Saya gembira bahagia, Alhamdulillah. Biarlah perasaan ini saya simpan sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila berpeluang dapat melihat secara dekat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah.

“Terima kasih Permaisuri tercinta kerana sudi terima surat dari rakyat jelatamu di hujung dunia ni (ini). Bersyukur sangat berpeluang dapat melihat Raja dan Permaisuri sekeluarga depan mata, Alhamdulillah.

“Tidak semua orang berpeluang menyampaikan luahan isi hati mereka kepada Raja dan Permaisuri, tapi saya bersyukur kerana segalanya dipermudahkn (dipermudahkan). Alhamdulillah, semoga surat terbuka ini diterima baik oleh Raja dan Permaisuri. Daulat Tuanku!,” tulisnya di Facebook.

Antara isi kandungan yang diluahkan Sri Wahyu dalam surat itu adalah nasib peniaga kecil seperti dirinya yang terkesan dengan kenaikan harga barang.

Dia juga mewakili suara rakyat lain yang sudah bosan dengan masalah gangguan bekalan air dan elektrik selain keadaan infrastruktur seperti jalan raya yang daif.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat melakukan perjalanan Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September, bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Kuching merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Loading...
Terkini