KUALA LUMPUR: “Kali pertama di KL, persembahan terakhir untuk tahun ini,” demikian perkongsian dibuat kumpulan popular dari Britain, Coldplay menerusi laman Instagram (IG) rasminya, sebelum tampil dalam Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Tetap menghargai sokongan peminat walaupun dalam panas dan hujan, hantaran itu turut menzahirkan perasaan tak sabar Coldplay untuk memberikan pengalaman menakjubkan buat peminatnya.
“Pentas sudah ditetapkan untuk malam yang hebat. Kami berterima kasih atas sambutan hangat (dan basah), tidak sabar untuk menjayakannya. Terima kasih menerima kami di Malaysia,” tulis Coldplay.
Peminat sudah mulai masuk ke stadium sejak jam 5 petang tadi dan proses itu berjalan agak baik meskipun dalam cuaca hujan.
Malah, tiada adegan menunjuk perasaan mahupun perhimpunan yang mengundang perasaan kurang senang orang ramai di perkarangan stadium.
Anggota polis juga dilihat memainkan peranan mengawal keamanan.
Difahamkan, peminat mula hadir ke stadium seawal jam 7 pagi untuk beratur, manakala hujan mulai lebat sejak jam 2 petang lagi.
Seramai 85,000 penonton dijangka memenuhi stadium malam ini dan sehingga jam 7 malam, ramai masih menanti di perkarangan stadium.
Beberapa hari lalu, penganjur iaitu Live Nation Malaysia menggariskan peringatan tidak membenarkan peminat menunggu artis luar dan dalam lokasi konsert atau bermalam di persekitaran Stadium Nasional Bukit Jalil.
Penganjur turut menyenaraikan barangan dilarang dibawa masuk ke dalam stadium sepanjang konsert mega itu berlangsung.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Hujan bukan pengukur kesetiaan peminat Coldplay
- Kerajaan tidak berhasrat membatalkan persembahan artis luar, termasuk konsert Coldplay
- ‘Suis Pemati’ akan digunakan dalam konsert Coldplay malam ini – Fahmi
- PM akan bincang dengan Mufti isu konsert Coldplay
- Penganjur konsert Coldplay keluarkan peringatan untuk penonton
- Coldplay tiba di Kuala Lumpur?
- Jaga tatasusila, jangan lakukan provokasi semasa konsert Coldplay – Polis