comscore
Tumpuan :
Nasional

Terima kasih abang polis

Polis trafik dari IPD Kota Marudu, Lans Kopral Azriey Rohim membantu membuka dan menukar tayar van milik seorang warga emas yang bocor di Jalan Kota Marudu-Langkon manakala rakan setugasnya, Kopral Mohd Najib Hanifas melakukan kawalan lalu lintas. – FOTO: NSTP

KOTA MARUDU: Tindakan seorang anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menghulurkan bantuan menggantikan tayar van bocor dipandu warga emas ketika menjalankan tugas rondaan Op Selamat Tahun Baharu Cina 2024 di Jalan Kota Marudu-Langkon, baru-baru ini, menerima pujian orang ramai.

Kejadian yang tular di media sosial itu menunjukkan anggota polis trafik terbabit, Lans Kopral Azriey Rohim membantu membuka dan menukar tayar van milik seorang warga emas terbabit manakala rakannya, Kopral Mohd Najib Hanifas melakukan kawalan lalu lintas di lokasi kejadian.

Menurut kenyataan IPD Kota Marudu, ketika kejadian jam 10.30 pagi itu, dua anggota polis trafik terbabit sedang melakukan rondaan Op Selamat Tahun Baharu Cina apabila terjumpa sebuah van dipandu warga emas terbabit mengalami kebocoran tayar di Jalan Kota Marudu-Langkon.

“Bagi membantu menyelesaikan masalah itu, Azriey membantu menukarkan tayar van bocor, manakala Mohd Najib membuat kawalan lalu lintas di lokasi,” kata kenyataan itu.

Malah warga emas itu dengan seorang wanita yang bersamanya dipercayai isteri beliau kelihatan turut gembira dengan bantuan yang dihulurkan kedua-dua anggota trafik terbabit.

Difahamkan, selepas selesai memberi pertolongan kepada warga emas terbabit, kedua-dua anggota polis trafik itu terus melakukan kerja asal mereka melakukan rondaan pemantauan di sekitar daerah ini.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu mengucapkan syabas dan tahniah kepada anggota polis trafik Kota Marudu yang menghulurkan bantuan itu.

“Terbaik abang trafik,” puji netizen terhadap tindakan anggota polis trafik itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini