comscore
Tumpuan :
Nasional

Terima 10 tawaran melanjutkan pelajaran dan biasiswa

FOTO: NSTP

BACHOK: Menerima lebih 10 tawaran melanjutkan pelajaran dan biasiswa.

Itu rezeki yang datang kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 11A yang tular menjaga ibu sakit, Muhammad Syahril Saidi
di Kampung Kandis, di sini.

Syahril, 18 berkata, dia bagaimanapun perlu melakukan solat istikharah dan berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

Artikel berkaitan: `Saya reda Umi pergi’ – Pelajar cemerlang 11A SPM

Katanya, setakat ini dia mahu meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah,Bachok untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.

“Saya akan buat perancangan langkah demi langkah untuk pilih mana yang terbaik. “Tawaran memang banyak daripada pelbagai agensi, saya ucapkan seribu penghargaan dan terima kasih kepada semua yang bagi tawaran biasiswa, dan doakan saya dan keluarga, semoga kita semua berjaya dunia akhirat dan jadi pemimpin Islam yang benar- benar membawa kebenaran,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu juga berkata, sepatutnya bukan dia seorang diraikan atas kejayaan dalam SPM tetapi orang-orang sekeliling yang banyak membantunya seperti abang, kakak-kakak, ibu bapa saudara dan guru-gurunya yang tahu kesusahan hidupnya sebelum ini.

Artikel berkaitan: Kos pengajian pelajar cemerlang 11A, kakak ditanggung Kerajaan Kelantan 

Katanya, mereka adalah insan di sebalik tabir yang mendorong kejayaan beliau terutamanya arwah ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 yang baru meninggal dunia, Sabtu lalu.

“Banyak yang arwah umi pesan pada saya, tapi biarlah jadi simpanan peribadi saya,” katanya yang turut menerima tawaran biasiswa daripada Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dan beberapa bank seperti Bank Rakyat.

Sementara itu, bapa saudara Syahril, Rosmazuki Mat Jusoh, 45 berkata, dia mengagumi kecekalan hati anak-anak saudaranya yang menjaga ibu mereka selepas kematian bapa mereka, Saidi Mat Jusoh, sejak 11 tahun lalu.

Katanya, arwah ibu bapa mereka sering mengajar anaknya supaya tidak menyusahkan orang.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada seorang cikgu bernama Shafie Sidik yang antara individu paling banyak membantu mereka, tak ada budi yang kami dapat balas,” katanya.

Akhlak baik Syahril dan abang serta kakak-kakaknya turut mengundang simpati orang ramai yang ada mengambil mereka sebagai anak angkat selain sering membawa makanan, keperluan harian dan membantu semampu mereka bagi membantu keluarga susah ini selepas ibu mereka diserang penyakit angin Ahmar pada tahun 2019.

Kesusahan dan pengorbanan remaja ini terbongkar selepas dia berjaya menjadi pelajar tunggal sekolahnya mendapat 11A dalam SPM yang diumumkan, Khamis lalu.

Bagaimanapun, ibunya yang sakit meninggal dunia Sabtu lepas, sebelum arwah diimamkan sendiri Syahril dalam solat jenazah dan dikebumikan di sebelah kubur suaminya, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Lati, Bachok, keesokan hari.

Loading...
Terkini