Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Kebocoran gas karbon monoksida daripada peti sejuk dikenal pasti sebagai punca tiga pekerja restoran makanan segera di Dataran Austin pengsan, pagi tadi.
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan CBRNE Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh mengesahkan kejadian itu selepas menjalankan siasatan di lokasi.
Ketua BBP Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata gas beracun tersebut boleh menyebabkan gangguan pernafasan.
“Setakat ini, kami masih menjalankan pengesanan lanjut bagi memastikan premis tersebut berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi, sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bomba tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.48 pagi.
Mangsa, tiga wanita tempatan berusia lingkungan 20-an, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Saksi kejadian, Nur Shakira Mohd Zahari, 26, berkata beliau segera membantu mangsa sejurus dimaklumkan oleh pekerja restoran tersebut.
Kesemua mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.