Tumpuan :
Nasional

Terengganu tunggu jawapan MOF berkenaan baki wang royalti

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kanan) semasa merasmikan dan melawat gerai Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Karnival Usahawan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Status tuntutan baki wang royalti atau wang ehsan oleh kerajaan Terengganu daripada kerajaan Persekutuan dijangka diketahui minggu depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kementerian Kewangan (MOF) dijangka akan memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan di Dewan Rakyat selepas ia dibangkitkan beliau dalam perbahasan Titah Diraja minggu ini.

Katanya, mengikut aturan mesyuarat pada Isnin, Kementerian Kewangan telah diletakkan dalam penggiliran pertama untuk menjawab perbahasan usul menjunjung kasih ke atas Titah Diraja pada Isnin depan di Dewan Rakyat.

FOTO: NSTP

“Saya tak nak bagi komen apa-apa sehingga Yang Berhormat Menteri akan menjawab pada hari Isnin ini, jadi jawapan bagi pihak kementerian akan bermula pada hari Isnin selama satu hingga tiga hari, kalau tak silap saya sampai Rabu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman mengutarakan isu tuntutan royalti itu ketika menyampaikan ucapan perbahasan sulung di Dewan Rakyat.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta setakat Oktober tahun lalu berbanding jumlah sebenar kira-kira RM1.5 bilion dari kerajaan persekutuan.

Katanya, ia adalah kadar bayaran royalti paling rendah diterima kerajaan negeri sejak 2018.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah membuat anggaran terimaan wang royalti minyak adalah sebanyak RM1.524 bilion dalam Belanjawan 2023 dan yang diterima sehingga kini adalah RM510 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini