KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM120,000 untuk melaksanakan projek pencegahan hakisan pantai dan membaik pulih kerosakan jalan susulan di badai ombak besar di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, sejak Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah mengenal pasti beberapa kaedah bagi melakukan tindakan segera susulan hakisan pantai itu.
Beliau berkata, tiga strategi utama yang meliputi jangka panjang, pendek dan semasa akan dilakukan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah hakisan, termasuk meletak batu sebagai penahan ombak.
“Kaedah jangka panjang sedang dilakukan JPS negeri dengan membina 16 pemecah ombak luar pesisir membabitkan peruntukan keseluruhan RM69.9 juta.
“Kita dimaklumkan 20 peratus projek memulihkan pantai terhakis bermula dari pantai Mengabang Telipot sehingga ke Pantai Batu Rakit sejauh kira-kira 7.5 kilometer sudah siap dilaksanakan,” katanya melalui Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Samsuri mendengar taklimat langkah pencegahan hakisan daripada Pengarah JPS, Osman Abdullah di pejabatnya hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pelan komunikasi dengan masyarakat setempat supaya mereka memahami tindakan sedang dilakukan kerajaan.
“Pembinaan benteng pemecah ombak dan benteng hakisan akan dilaksanakan mengikut kesesuaian lokasi berdasarkan nasihat daripada JPS dan konsultan,” katanya memaklumkan sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof bagi menyelesaikan isu hakisan yang berlaku.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.