comscore
Tumpuan :
Nasional

Terengganu kembali banjir, 24 mangsa dipindahkan ke PPS

 

MARANG: Daerah Marang, Terengganu dilanda banjir gelombang ke empat, susulan hujan berterusan sejak semalam.

24 mangsa dari tujuh keluarga dipindahkan dan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
dibuka setakat jam 4.30 petang tadi.

Tiga kampung terjejas iaitu Wakaf Tapai, Padang Mengkuang dan Bukit Parit.

12 mangsa dari tiga keluarga kini berlindung di Dewan Orang ramai Bukit Parit.

Di Dewan Sivik Wakaf Tapai dan SK Padang Mengkuang, masing-masing menempatkan enam mangsa dari dua keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu berkata, banjir berlaku disebabkan limpahan Sungai Padang Terik.

Bagaimanapun air yang menggenangi rumah penduduk semakin surut.

Sementara itu, dua sungai direkodkan melepasi paras amaran dan lima paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.26 meter (m) berbanding paras normal 17 m.

Turut melepasi paras amaran adalah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.13m berbanding paras normal 1m.

Selain itu,lima sungai merekodkan paras waspada adalah dua di Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Setiu, Kuala Nerus dan Dungun.

Di Hulu Terengganu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu merekodkan bacaan 19.06m dan Sungai Telemong di Kuala Ping pula berada pada paras 18.25m.

Tiga lagi yang melepasi paras waspada adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu(10.94 m); sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.5m) dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (37.46m).

Loading...
Terkini