Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Terdesak memerlukan wang dalam tempoh segera dan dengan terpedaya tawaran wang mudah, dikesan antara penyebab sebilangan individu terlibat menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan individu terlibat berdepan tindakan undang-undang manakala ahli sindiket telepas dan mencari “tungangan” baharu demi mengaut keuntungan menerusi penipuan secara dalam talian
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, seramai 444 keldai akaun telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah Sarawak.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 2,354 keldai akaun yang telah dikenal pasti oleh Polis Sarawak sepanjang tempoh terbabit dengan melibatkan jumlah kerugian melebih RM42 juta.
Jelasnya, kebanyakan individu yang menjadi keldai akaun ini tidak mengetahui mereka terlibat sehinggalah mereka ditangkap oleh polis.
“Daripada analisa kita, keldai akuan ini tidak tahu akaun mereka telah digunakan oleh sindiket kerana selepas mereka memberikan maklumat akaun terbabit mereka tidak ambil tahu apa yang berlaku.
“Mereka hanya menyedarinya (dijadikan keldai akaun) apabila mereka mereka ditangkap kerana ada kes pada 2021, Individu ini bagi maklumat akuan dia kepada individu lain dan tidak mengambil tahu perihal akaun terbabit.
“Kemudian Pada 2023 dia telah kena tangkap, barulah mengetahui yang akaun dia telah digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak di Kuching.
Datuk Mohd Azman dalam pada itu turut menasihati orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya menyerahkan butiran dan maklumat peribadi mereka kepada individu yang tidak mereka kenali.
Ia kerana tindakan itu boleh mendedahkan mereka kepada risiko dijadikan sebagai keldai akaun sekaligus menyebabkan mereka boleh didakwa di mahkamah.